Sign In
portfolio web templates

MKKJR terus tingkatkan keselamatan jalan raya melalui Sistem NCAP

23/07/2018
http://mkkjr-poc.egc.gov.bn/Images1/news/press-release.jpg

​Pembarigaan mengenai Sistem New Car Assessment Program (NCAP) dan ciri-ciri keselamatan kenderaan merupakan usaha berterusan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

 

Aktiviti ini adalah usaha sama bersama Persatuan Peniaga Automobil Brunei (PPAB) khususnya Maju Motors Sendirian Berhad dan Syarikat NBT (Brunei). Ia adalah kesinambungan daripada persetujuan semua pengedar kenderaan di negara ini untuk mempamerkan Star Rating NCAP dan ciri-ciri keselamatan kenderaan di setiap kenderaan yang dijual di balai pameran (showroom) masing-masing serta semasa pengiklanan kenderaan tersebut yang bermula pada 1 Julai tahun ini.

 

Ini adalah bertujuan untuk mengubah minda orang ramai untuk mengutamakan ciri keselamtan kenderaan apabila memilih untuk mempunyai kenderaan sebelum memilih aspek-aspek yang lain termasuk harga bayaran bulanan.

 

Perkara tersebut disentuh oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Dr. Awang Haji Supry bin Haji Awang Ladi ketika ditemui Pelita Brunei semasa Kempen Pembarigaan Sistem NCAP dan ciri-ciri keselamatan kenderaan sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2018, kelmarin.

 

''Sistem keselamatan yang dipasang pada kenderaan masa kini kian canggih, selaras dengan perkembangan teknologi juga permintaan pengguna serta hasil daripada kajian yang dilaksanakan oleh NCAP. Keselamatan kenderaan terdiri daripada jenis PASIF, iaitu ciri keselamatan yang boleh mengurangkan tahap kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan sebagai contoh 'airbag', AKTIF, iaitu ciri keselamatan yang boleh membantu kenderaan itu daripada terlibat dalam kemalangan sebagai contoh sistem brek yang terkini seperti Electronic Stability Control (ESC) atau Electronic Stability Programme (ESP) dan ciri yang memberi keselesaan atau kemudahan kepada pemandu dan penumpang,'' jelasnya.

 

Bermula dengan kekukuhan badan kereta itu sendiri tambahnya, ciri-ciri pasif dan aktif ini sudah ada dalam kereta moden dan ini adalah hasil daripada kajian yang ada dalam Sistem NCAP yang terdiri daripada pelbagai sistem bantuan elektronik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (Anti-Lock Braking System - ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) atau Program Kestabilan Elektronik (ESP).

 

Malah katanya, kini terdapat juga sistem brek kecemasan seperti ini yang mula dipasang pada kenderaan sederhana dan tidak hanya pada kenderaan mewah seperti sebelum ini. Ini menunjukkan Star Rating NCAP yang tinggi tidak semestinya terdapat pada kenderaan yang mewah sahaja.

 

Kempen NCAP bertujuan membuka minda orang ramai mengenai aspek-aspek keselamatan, yang mana mengikut dapatan di negara jiran, sebanyak 64 peratus para pengguna lebih mengutamakan aspek-aspek keselamatan daripada aspek yang lain dan ini adalah satu pendekatan terbaik yang diikuti oleh MKKJR dan PPAB dalam usaha untuk mengubah minda orang ramai di negara ini melalui pengetahuan mengenai NCAP Star Rating dan ciri-ciri keselamatan kenderaan.

Attachments